Lebih menarik jika menggunakan pelayar Mozilla Firefox dari mozilla.org.

Selepas 4 Bulan di Perantauan...

Salam,

Beberapa hari lagi, insyaAllah saya akan pulang untuk berpuasa dan berhari raya bersama-sama keluarga dan kawan-kawan. Walaupun sempat berpuasa selama lebih kurang seminggu sahaja di Taman Gemilang, suasana berpuasa dan berbuka dikelilingi oleh keluarga dan rakan-rakan amatlah saya rindui. Di tambah dengan sudah lebih 4 bulan saya di sini, saya akan bersyukur walau sehari dapat bersama keluarga dan rakan-rakan. Izinkan saya coretkan beberapa pengalaman dan pengajaran yang saya alami setelah lebih 4 bulan di sini.

"Tak kenal tak cinta", "jauh di mata dekat di hati" antara peribahasa yang sering digunakan untuk menggambarkan perasaan kasih sayang antara individu. Walaupun kita mengenal insan yang kita sayangi, sejauh manakah sayang kita kepada mereka? Adakah dengan mengucapkan sayang cukup untuk menunjukkan yang kita benar-benar menghargai mereka? Kerapkali manusia "take for granted" yang mereka sayangkan seseorang. Mungkin saya salah seorang dalam kategori tersebut. Semasa berada di sini, saya dapat merasakan sejauh manakah sayang saya kepada anak-anak, isteri dan kawan-kawan. Saya dapat merasakan kekosongan dalam diri apabila pergi kerja tanpa mengucapkan "bye" kepada anak-anak, pulang dari kerja tidak mendengar suara anak-anak yang bertanyakan apakah yang dibeli untuk mereka, tiada isteri untuk menceritakan apa yang berlaku di tempat kerja, tiada kawan menegur dan berbual di surau atau di padang lebih-lebih lagi tiada kedai Mat di sini. Pendek kata terasa tidak lengkap hidup saya seharian.

Semasa di sini, saya dapat juga mengenali siapa "kawan semasa" dan "kawan selamanya". Tak perlulah saya huraikan dengan lebih lanjut. Cukup dengan menyatakan saya bersyukur kerana mempunyai kawan seperti kawan-kawan di Taman Gemilang.

Kenangan bersama keluarga dan rakan-rakan terutama yang indah dan menyeronokkan banyak membantu saya dalam menjalani kehidupan seharian. Sekurang-kurangnya ia dapat mengisi kesunyian dan kekosongan. Kenangan sedemikian banyak membantu saya dalam meneruskan kerja seharian dengan bersemangat.

Kalau dulu saya ada jugak merungut tentang harga barangan terutamanya makanan yang mahal di Malaysia. Semasa di sini saya dapati harga barangan adalah jauh terlalu mahal. Selepas ini mungkin saya akan kurang merungut tentang harga barangan di Malaysia. Bahkan penduduk tempatan sendiri merungut tentang harga di sini.

Walaupun saya akan balik bercuti selama lebih kurang 3 minggu sahaja, saya akan cuba mengisi masa tersebut sepenuhnya agar apabila kembali ke sini saya akan membawa segala kenangan indah untuk dijadikan pembakar semangat untuk berada di sini lebih kurang 2 bulan setengah lagi.

Salam dari Sydney.




0 comments: